Bila tinta berlabuh
minda mula berbicara
ceritera PHT terus berdendang
secangkir kopi jadi peneman

15 January 2013

Anugerah Senyum Sokmo, Staf Paling Kemas, Staf Berbudi Bahasa

Jawatankuasa Kelestarian PHT pada tahun ini akan menganjurkan pertandingan yang memberi fokus kepada penampilan diri, sifat sopan santun dan berbudi bahasa dalam kalangan staf PHT. Berbanding tahun-tahun sebelum ini, pertandingan banyak memfokuskan kepada aspek kebersihan dalam pelbagai kategori dan kesan-kesan positif dapat dilihat hasil dari pertandingan tersebut.

Sehubungan itu, tiga pertandingan telah dirangka bagi menjayakan perancangan ini:
1) Anugerah Senyum Sokmo
2) Anugerah Staf Paling Kemas
3) Anugerah Staf Berbudi Bahasa

Pertandingan ini akan bermula pada Januari 2013 dan setiap 4 bulan sekali. Semua staf akan dinilai dari sudut penampilan yang kemas, senyuman ikhlas, mengamalkan nilai-nilai yang murni, suka menolong rakan, mesra pelanggan, menjawab telefon dengan sopan santun dan lain-lain selaras dengan prinsip kelima rukun negara kita iaitu "Kesopanan dan Kesusilaan".

Semoga pertandingan dan anugerah yang diberikan dapat mencetuskan semangat dan motivasi dalam melaksanakan tugas sebagai suatu ibadah. Selamat Maju Jaya!

14 January 2013

Seminar Pemantapan Diri Untuk Kecemerlangan Organisasi

13 Dis 2012, USM Kampus Kesihatan - Perpustakaan Hamdan Tahir telah mengadakan "Seminar Pemantapan Diri Untuk Kecemerlangan Organisasi" untuk semua staf perpustakaan yang terdiri daripada pelbagai kategori. Ini merupakan seminar terakhir anjuran perpustakaan bagi tahun 2012.

Seminar ini telah dibahagikan kepada 3 sesi iaitu Kecergasan Diri untuk Kemajuan Kendiri, Pemakanan Yang Sihat, Produktiviti Kerja Yang Hebat dan Kerja dan Ibadah Suatu Tuntutan. Penceramah undangan terdiri daripada PM Dr. Mohamed Saat Ismail (Pensyarah, Senaman dan Sains Sukan), Pn. Juliana Shamsudin (Dietetik) dan Dr. Mohamad Najib Mat Pa (Pegawai Perubatan). Pelbagai aspek telah diberi penekanan seperti teknik-teknik senaman, penjagaan diri, pemakanan yang seimbang, keperluan diri dan kesannya kepada individu, tanggungjawab pekerja dan konsep ibadah dalam menjalani kehidupan sebagai pekerja. 

Keseluruhannya, seminar ini telah memberi peluang kepada staf untuk muhasabah diri dan  meningkatkan motivasi diri khususnya dalam kerjaya dan keperibadian diri secara amnya. 

Berjumpa lagi pada siri yang akan datang!