Bila tinta berlabuh
minda mula berbicara
ceritera PHT terus berdendang
secangkir kopi jadi peneman

20 January 2010

Selamat Datang ke Secangkir Kopi


Salam ceria dari kami

Pada tanggal 20.01.2010 Perpustakaan Hamdan Tahir melakarkan sejarah apabila post pertama di dalam blog Secangkir Kopi @ PHT dimuat naik khusus untuk tatapan warga Kampus Kesihatan USM.

Kenapa Secangkir Kopi?
Sukar juga mencari nama untuk blog Perpustakaan yang cuba memecah tradisi dari unsur-unsur ‘keakademikan’ dan pada masa yang sama masih ingin mengekalkan jatidiri Perpustakaan itu sendiri. Hasrat kami ingin menyediakan satu wadah yang lebih santai dalam ‘menceritakan’ sebarang kisah berkaitan Perpustakaan dan berkongsi maklumat tentang kepustakawanan. Dalam masa yang sama kami cuba tidak memaparkan sesuatu yang bersifat terlampau personal dan emosional. Yang pasti kami ingin paparkan apa yang berlaku di Perpustakaan dengan cara yang lebih mengesankan. Ada sentuhan peribadi di situ. Ibarat duduk bersantai menikmati secawan kopi sambil bertukar-tukar cerita tentang apa yang terkini atau apa yang berlaku di Perpustakaan.

Hasrat ini sebenarnya telah lama terpendam namun Alhamdulillah pada hari ini telah kesampaian. Di sebalik tabir Secangkir Kopi ialah barisan Pustakawan yang sedia memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna-pengguna Perpustakaan. Dengan itu kami berharap blog ini turut menjadi medan untuk pengguna memberikan pandangan dan berkongsi rasa tentang persoalan berkaitan Perpustakaan.

Pembuka Tirai 2010
Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi mengisi kalender 2010 di Perpustakaan. Walaupun perlu menghadapi cabaran perbelanjaan berhemah, Perpustakaan Hamdan Tahir telah menyediakan acara dan juga perancangan menarik antaranya:
  • Seminar Merekayasa Perpustakaan – khusus untuk para pustakawan di seluruh Malaysia mendalami tentang inovasi dan kreativiti dalam kepustakawanan
  • Minggu Kempen Membaca – akan dipenuhi bermacam-macam aktiviti seperti Info Quest 2, Hari Bersama Pelanggan dan suprises@PHT
  • Pemasangan sistem RFID Perpustakaan – untuk meningkatkan keselamatan koleksi Perpustakaan serta memberikan perkhidmatan tambah nilai kepada pengguna.

Semoga apa yang kami rancangkan akan dapat dilaksanakan, insya Allah!


Pustakawan Rujukan

1 comments:

Nazwarah said...

Syabas WEWMA!

Post a Comment